100 nyawa diganti keampunan



Diceritakan pada zaman dahulu, terdapat seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 orang. Lelaki tersebut dari kalangan penduduk Bani Israel. Suatu hari, beliau telah menyesali kejahatan yang dilakukannya dan terdetik ingin bertaubat kepada Allah s.w.t.
          Lalu dia keluar ingin menemui orang alim di kawasan kampungnya supaya dia dibimbing ke arah bertaubat dab beribadah. Setelah agak lama mencari akhirnya dia berjumpa dengan seorang ahli ibadah. Dia menceritakan keadaan dirinya seraya bertanya, “Adakah pintu taubat masih terbuka bagiku?” Ahli Ibadah tadi menjawab,“Tidak”. Lelaki tersebut berasa sangat marah dan membunuh ahli ibadah yang berada di hadapannya tadi. Maka, genaplah 100 orang telah dibunuh olehnya.
          Tersentak daripada perbuatannya, lelaki tersebut menyesal dan meneruskan perjalanannya bagi mencari orang alim lain yang boleh membantunya. Setelah agak puas bertanya kepada orang ramai akhirnya dia dipertemukan dengan seorang alim di sebuah kawasan.

           Seperti biasa dia lantas menceritakan kisahnya yang telah membunuh 100 orang kepada orang alim tersebut dan bertanya, “ Adakah pintu taubat bagiku?” Orang alim yang sejak tadi tenang mendengar ceritanya menjawab, “Ya, apakah yang menghalang antara dia dan taubat?” Dia meneruskan bicara, “Datanglah ke perkampungan itu (sambil menerangkan kedudukannya), di sana tinggal manusia yang beribadah kepada Allah S.W.T. Tinggallah bersama mereka dan jangan kamu kembali ke kampung lamamu kerana di situlah tempat yang tidak baik bagimu.”
Lelaki tadi berasa sangat gembira dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim tadi. Dia lantas meneruskan perjalanan ke arah kampung yang ditunjukkan. Dengan takdir Allah s.w.t., dia mati di pertengahan jalan sebelum tiba ke destinasi yang ingin dituju.
            Sejenak kemudian, turunlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bagi mengadili kedudukan lelaki tadi. Namun, tiada kesepakatan yang ditemui kerana kedudukan lelaki tersebut membuatkan mereka keliru. Malaikat Rahmat berkata, “Dia datang ke sini dengan niat yang baik kerana Allah s.w.t.” Namun dijawab oleh Malaikat Azab, “Tetapi dia tidak pernah melakukan kebaikan sedikit pun.”
            Tiba-tiba, Allah s.w.t. menghantar malaikat lain yang menyerupai manusia ke tempat lelaki tadi mati dan berkata, “Ukurlah jarak antara tempatnya dan tempat yang ingin dituju. Yang mana paling dekat antara keduanya, maka itulah habuan baginya.”
             Mereka mengukur jarak antara kedua tempat mengikut seperti yang telah diarahkan. Setelah itu, didapati jarak antara tempat kematian lelaki dan kampung yang ingin ditujunya ternyata lebih dekat. Akhirnya, lelaki yang telah membunuh 100 orang tanpa sempat bertaubat kepada Allah s.w.t telah mendapat keampunan.
Perkongsian bersama :)
                                                                                            
                                                                                              Teks : Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...